Bismillahhirrahmanirrahim
Bersyukur aku kepada Ilahi kerana masih lagi diberi peluang dan ruang untuk bernafas, meni’mati segala kurniaanNya yang tidak mampu untuk aku beli. Dari kita celik mata hinggalah kita menutup mata, terlalu banyak ni’mat kurniaan Dia kepada kita kan? Selepas bangun dari subuh, aku tidak terus tidur. Sudah menjadi kebiasaan aku tidak akan tidur selepas subuh melainkan mata dan badan ini terlalu letih kerana berjaga untuk membuat tugasan dan assignment di malam hari, barulah aku akan tidur sebentar. Rutin harianku sekiranya tidak kuliah, aku akan mula mengakses internet untuk membaca artikel-artikel yang boleh memberi manfaat. Ketika aku melayari sebuah blog, aku terbaca sebuah entry mengenai penghijarahan seorang wanita yang dari tidak menutup aurat dengan sempurna kepada bertudung labuh. Terkesima aku membacanya. Alhamdulillah.. Hidayah Allah itu datang kepada siapa yang cuba untuk mencarinya. Lalu aku juga teringin untuk berkongsi kisahku kepada kalian.
Sejak
aku dibangku sekolah, aku sudah mengetahui tentang aurat wanita itu,
bahkan apabila sedang belajar di kelas Pendidikan Islam sekiranya
ditanya tentang aurat wanita aku adalah orang yang seringkali memberi
jawapan. Tetapi tetap aku tidak menutup aurat dengan sempurna. Aneh
sungguh! Aku masih lagi mengenakan pakaian yang tidak mengikut
kehendakNya, masih lagi tidak berstokin dan sebagainya. Pernah juga
terdetik di hati ini untuk berubah pada ketika itu apabila melihat kawan
yang tertutup rapi menjaga auratnya. Tetapi setiap kali aku cuba
berubah, pasti pelbagai persoalan aku fikirkan. Nanti orang kata aku
hipokrit lah, nanti kalau bertudung labuh tapi perangai tetap sama macam
mana, nanti kalau bertudung labuh dah tak boleh nak “gila-gila” macam
dulu, terlalu banyak yang aku fikir. Maka, akhirnya aku tetap begitu.
Kehidupanku
diteruskan lagi apabila aku berjaya menempatkan diri di sebuah IPTA di
selatan negara. Di sinilah kisah penghijrahanku bermula. Seperti
pelajar-pelajar wanita yang lain, apabila ke kuliah aku akan mengenakan
pakaian yang “biasa” aku pakai. Jeans, blouse dan tudung. Suatu hari
ketika menunggu bas, mataku teralih untuk melihat dua orang mahasiswa di
hadapanku. Seorangnya bukan islam dan seorangnya Islam. Lalu, aku mula
memerhati. Aku terus menunduk dan melihat apa yang aku pakai dan aku
terus mengalihkan pandangan kepada wanita Islam itu. Bertudung labuh,
berbaju longgar dan juga labuh, seluarnya juga begitu dan berstokin.
Maka timbul satu soalan dalam fikiranku. Sekiranya aku berpakaian
seperti mereka yang bukan Islam itu, apakah beza antara aku dengan
mereka? Di sepanjang perjalanan, aku hanya diam. Tidak kecoh seperti
biasa. Aku mula berfikir. Tiba-tiba teringat kata-kata pensyarahku
tempoh hari. Aku berjumpa dengannya untuk bertanya soalan, tapi dia pula
yang menanyaku kembali. Sejurus aku memasuki biliknya, soalan pertama
dia kepadaku, “You tahu tak kenapa baju yang you pakai
ni tak boleh buat solat?”. Aku menjawab dengan nada yang endah tak
endah. “Sebab ketat kot”. Betul, jawapan tu katanya. Tapi jawapan yang
lebih tepat “sebab pakaian you tu tak boleh buat solat”, katanya lagi.
Aku
mula teringat kembali kata-kata ayahku suatu ketika dahulu. “Anak babah
cantik tau kalau pakai jubah, pakai longgar-longgar, taknak try ke?”
“Kakak tak kesian ke kat babah kalau babah masuk neraka? Kakak pakai
macam ni?” Aku mula tersentak! Jiwaku seperti disentap –sentap. Kepalaku
masih ligat lagi memikirkan tentang hal ini. Aku seperti orang yang
sedang tidur lalu dibangunkan dari lena yang panjang! Aku tidak terus
makan pada hari itu, aku terus pulang ke bilik. Aku mula termangu,
termenung memikirkan apa yang telah aku lakukan, apa yang telah aku
kenakan di sepanjang hidup aku hingga saat ini. Bukan aku tidak tahu
tentang aurat wanita itu, tetapi mengapa aku tidak mahu memahaminya?
Bukan ayah tidak pernah menasihati aku, tetapi mengapa aku tetap
berdegil? Bukan ayah tidak mendidik, mengapa aku tidak menerima untuk
dididik? Bukan tiada sahabat yang menegur, mengapa aku tidak mengambil
teguran mereka? Aku bukan tiada ilmu tentang ini, tetapi mengapa aku
tidak pernah ambil tahu. Aku solat, tapi mengapa aku tidak mengikut
pakaian yang disyariatNya? Islam kah aku sekiranya pakaian yang aku
kenakan menerupai mereka yang bukan Islam? Air mataku mula mengalir
tanpa sedar, memikirkan apa yang aku lakukan disepanjang aku hidup. Apa
yang aku kenakan sebelum ini ketika aku melangkah keluar.
Hari
demi hari, aku mula untuk memahami dengan lebih mendalam apakah itu
aurat wanita dan cuba mempraktikkan. Perlahan-lahan aku mengenakan baju
yang longgar dan labuh, bertudung menutupi dada, dan berstokin.
Pencarian itu aku teruskan lagi. Aku memerhati mereka yang menjaga
auratnya, aku mula membaca artikel-artikel tentang aurat wanita.
Al-Quran yang jarang dibuka, aku mula buka. Jika sebelum ini aku membaca
tanpa memahami maksud, aku mula mencari terjemahan quran itu. Sehingga
lah aku menemukan ayat ini.
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan JANGANLAH MENAMPAKKAN PERHIASANNYA (AURATNYA), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka MENUTUPKAN KAIN KERUDUNG KE DADANYA..” - (Surah An Nur, 24: 31)“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, HENDAKLAH MEREKA MENUTUPKAN JILBABNYA KE SELURUH TUBUH MEREKA”. Yang demikian itu agar mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”. - (Surah Al Ahzab, 33: 59)
Nah!
Peringatan Allah tentang kewajiban menutup dan memelihara aurat ini
telah terwujud sebelum kita dilahirkan lagi. Aku mula memahami betapa
berharganya diri kita ini wahai wanita. Aku dapat merasakan sesuatu yang
sangat berbeza apabila aku berpakaian begini. Sekiranya sebelum ini aku
sering diganggu oleh lelaki, selepas aku berpakaian begini, aku tidak
kerap diganggu terutamanya apabila berjalan seorang diri. Aku sudah
merasakan selamat apabila berpakaian begini. Alhamdulillah, inilah
ni’mat yang paling berharga dalam hidup selain ni’mat Islam dan Iman
iaitu ni’mat hidayah. Hidayah takkan datang tanpa kita cari, Allah juga
akan memberi hidayah kepada orang yang mencarinya. Bukankah Allah telah
berkata Dia akan membantu kita sekiranya kita ingin mencari ilmuNya?
Mana mungkin Dia memungkiri janji! Aku mula sedar, kehidupan dunia ini
hanya satu persinggahan, hanya sementara. Jangan tertipu dengan fashion
akhir zaman. Diri kita ini sangat berharga, lebih berharga dari
segala-galanya. Apakah kita suka maruah kita dipermainkan,
dipertontonkan pada yang tidak sepatutnya? Setiap
yang BERHARGA di muka bumi ini selalu sulit untuk didapatkan, tidak
ditemukan berselerakan. Cuba kita perhati, emas dan perak ditemukan di
dalam perut bumi, dilindungi berlapis-lapiss dalam tanah. Berlian
ditemukan terlindung dan tertutup oleh batuan yang keras. Mutiara
ditemukan di dasar laut terlindung oleh cengkerang yang keras. Muslimah,
kita ini lebih berharga dari emas, perak, berlian dan mutiara. Kita
seharusnya TERLINDUNG. Pakailah jilbab/kerudung/hijab dengan BENAR,
bukan untuk membungkus rapat tubuh melainkan untuk menutupi keindahannya
hanya untuk yang pantas melihat kita.
Akhir
kata dari saya, jangan sesekali malu untuk berubah ke arah kebaikan.
Pedulikan saja kata-kata sinis orang. Nanti di akhirat sana, kita yang
akan menjawab di depan Tuhan bukan? Ayuh bersama menutup aurat dengan
sempurna. Kita mampu mengubahnya!
By: Irna Syafiqah Zaabar
No comments:
Post a Comment