Saturday, September 8, 2012

Masalah Dalam Solat Yang Perlu Di Pelajari



Masalah pertama:

Gerak-geri yang sedikit walaupun tiada membatalkan sembahyang, tetapi hukumnya makruh melainkan kerana keperluan, iaitu; seperti menolak orang lalu di hadapan, membunuh kelajenking atau menggaru kerana gatal yang tentu sekali akan menggangu kekusyu’an. Kalau menguap, tidak mengapa meletakkan tangan ke atas mulut; atau jika bersin bolehlah memuji Allah Azzawajalla di dalam hati tanpa menyebut dengan lidah atau kiranya sendawa, maka janganlah hendaknya mengangkat kepala ke atas.


Masalah kedua:


Jika seorang saja yang bersembahyang berimam, hendaklah berdiri di sebelah kanan Imam di belakangnya sedikit. Jika makmumnya perempuan, hendaklah dia berdiri di belakang Imam. Sekiranya hadir bersama mereka seorang lelaki lain, hendaklah si lelaki itu berdiri di sebelah kanan belakang Imam, dan si perempuaan di belakang makmum lelaki pula.


Masalah ketiga:

Makmum masbuk (terlewat) bila mendapat akhir sembahyang imam, maka itulah permulaan sembahyangnya. Hendaklah ia menyertai Imam hingga selasai sembahyangnya, kemudian ia meneruskan pula hingga genap semua sembahyangnya sendiri. Pada sembahyang subuh hendaklah dia berqunut lagi dalam rakaat keduanya sendirian, walaupun dia telah berqunut bersama Imam sebelumnya tadi.

Bila makmum masbuk mendapati Imam telah habis setengah dalam berdirinya, maka janganlah ia membaca doa Iftitahnya lagi, malah hendaklah ia terus membaca Fatihah dengan sedikit cepat. Tetapi apabila Imam ruku’ sedangkan ia masih belum selesai membaca Fatihahnya, hendaklah mengagak kiranya sempat ia mengusul Imam waktu i’tidalnya dari ruku’ bolehlah ia terus menghabiskan Fatihahnya, jika tak sempat hendaklah ia berhenti dari Fatihah dan terus ruku’ bersama-sama Imam, sebab dihukumkan setengah Fatihahnya menjadi kesemuanya dan gugurlah Fatihah itu dengan kemasbukannya. Jika Imam ruku’ sedangkan ia masih membaca surah, hendaklah ia memutuskannya, lalu terus ruku’ bersama imam. Jika ia mendapati di pertengahan sujud atau tasyahhud, hendaklah ia bertakbir ihram dan terus sujud atau duduk bersama Imam tanpa perlu bertakbir lagi, kecuali jika ia mendapati Imam di pertengahan ruku’, maka hendaklah ia bertakbir lagi sesudah takbiratul-ihram, sebab takbir kedua itu adalah takbir perpindahan yang mesti dikira atasnya.

Makmum masbuk tidak dikira mendapat satu rakat dengan Imam, selagi tiada tumakninah di dalam ruku’nya, manakala Imam ketika itu masih dalam batasan orang-orang yang ruku’, jika tiada bererti tiada terkiralah itu satu rakaat.


Masalah keempat:

Sesiapa yang tertinggal sembahyang zohornya hingga ke waktu asar, hendaklah ia bersembahyang zohor dulu kemudian asar pula, tetapi kiranya ada orang yang mendirikan sembahyang asar berjemaah, hendaklah ia mendahulukan asar berjemaah, kemudian bersembahyang zohor sesudah itu, sebab sembahyang berjemaah itu lebih utama.


Masalah kelima:

Sesiapa yang telah menunaikan sembahyang kemudian didapati pada pakaiannya ada najis, sebaik-baiknya ia mengqadha’kan sembahyang itu, tetapi hukumnya tidak wajib qadha’. Jika ia melihat ada najis pada pakaiannya ketika di dalam sembahyang, hendaklah ia melontarkan pakaian itu seraya meneruskan sembahyangnya. Asal hukum ini ialah kembali kepada peristiwa Nabi menanggalkan kedua kasutnya, apabila Jibril a.s. memberitahunya bahawa padanya ada najis, maka segeralah baginda menanggalkannya, lalu meneruskan sembahyang hingga akhirnya.


Masalah keenam:

Sesiapa yang meninggalkan tasyahhud awal ataupun merasa syak tidak ingat berapa rakaat sudah dilakukannya; apakah tiga rakaat ataupun empat, hendaklah ia ambil dengan yang yakin, kemudian ia sujud sahwi sebelum salam. Kiranya ia lupa pula boleh juga dibawanya sujud sahwi itu sesudah salam apabila ia ingat, asalkan masanya tidak terlalu jauh.


Masalah ketujuh:

Waswas dalam meniatkan sembahyang dalam hukum syara’. Kerana dalam segi niat dan maksud mematuhi perintah Allah azzawajalla itu, samalah seperti mematuhi perintah selainnya, begitu pula membesarkannya seperti membesarkan selain darinya. Andaikata seseorang kamu telah didatangi oleh seorang alim, lalu dia pun bangun kerana menghormati orang alim itu. Kalau dia berkata: Aku berniat hendak berdiri tegak untuk menghormati kedatangan si Fulan yang termulia itu, kerana keutamaannya, dan dia pun menghadapkan wajah kepada si Fulan itu. Orang ini adalah seorang safih atau kurang sempurna akalnya (kerana perkara serupa itu tidak perlu hendak diniatkan terlebih dulu – pent.). Tetapi bila dilihatnya keadaan si Fulan itu dan diketahui keutamaannya, tentulah akan timbul dalam dirinya perasaan ingin menghormatinya, dan dia lalu bangun memberikan penghormatan; memadailah dengan cara begitu dia menjadi seorang yang menghormati kepada si Fulan tadi. Kecuali jika dia bangun itu kerana tujuan yang lain, ataupun dia bangun dalam keadaan lalai – itu tiada dikira sebagai penghormatan.

Adapun mensyaratkan niat sesuatu sembahyang itu sebagai zohor yang ditunaikan pada waktunya sebagai adaan, fardhan (tunai fardhu); iaitu kerana menurut perintah syara’, maka itu samalah seperti mensyaratkan berdiri menghormat seketika tamu masuk dengan muka menghadap kepada tamu yang masuk itu serta memalingkan perhatian dari selainnya, dan serentak pula dia meniatkan penghormatan kepada tamu itu agar benar-benar menjadi penghormatan yang tulen. Andaikata ia turut berdiri tetapi membelakangi si tamu, atau menunggu seketika waktu kemudian barulah ia berdiri; ini bukanlah dinamakan penghormatan. Sifat-sifat ini mestilah menjadi termaklum dan termaksud pada orang yang berniat dan tiada boleh hadirnya terlalu lama di dalam diri dalam suatu masa, melainkan sekadar lamanya penyusunan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan niat itu menerusi sebutannya dengan lidah, ataupun memikirkannya dengan hati. Barangsiapa yang tiada mengerti niat sembahyang dalam wajah (rupa) ini, seolah-olah dia belum mengerti niat yang sebenarnya. Jadilah ia seperti seorang yang diajak untuk bersembahyang dalam waktunya, maka ia pun mengangguk tanda setuju, lalu berdiri melakukan sembahyang itu.

Ketahuilah, bahawa waswas itu adalah kejahilan yang tulin.


Masalah kelapan:

Seorang makmum tidak boleh mendahului Imamnya dalam ruku’, sujud dan bangun dari keduanya, begitu pula pada semua amalan-amalan sembahyang yang lain. Dia tidak boleh juga menyertai gerak-laku Imamnya, tetapi hendaklah ia mengikut, yakni membuat sesudah Imamnya, tetapi hendaklah ia mengikut, yakni membuat sesudah Imam habis membuatnya. Itulah yang dimaksudkan dengan pengertian iqtida’ (mengikut atau makmum). Jika ia mendahului gerak-laku Imamnya, ada setengah ulama menghukumkan sembahyang itu batal dan setengah yang lain tidak (tetapi hilang pahala berjemaah – pent.).

Rasulullah s.a.w. telah melarang dengan keras kelakuan serupa itu dengan sabdanya:

“Tidakkah orang yang mengangkat kepalanya sebelum Imamnya itu merasa takut, nanti Tuhan akan menggantikan kepalanya dengan kepala keledai.”

Masalah kesembilan:

Wajiblah atas setiap orang yang menghadiri sembahyang beramai-ramai menegur saudaranya, jika ia melihat sesuatu kesalahan dalam sembahyang saudaranya itu, dengan membetulkannya atau mengingatkannya. Kalau orang itu seorang yang jahil tentang hal agamanya, maka hendaklah dia menegurnya dengan lemah-lembut serta mengajarnya.

Di antara kesalahan-kesalahan yang sering berlaku ialah meratakan saf, atau melarang berdiri sendirian di luar saf, atau mengingatkan supaya jangan mengangkat kepala sebelum Imam atau sebagainya.

Diriwayatkan dari Umar Ibnul-Khattab, beliau berpesan: Sering-seringlah mencari rakan-rakan kamu dalam sembahyang berjamaah, kiranya mereka tiada hadir kerana mengidap penyakit, maka hendaklah kamu melawat mereka. Jika mereka baik, tetapi tidak hadir berjamaah, hendaklah kamu mencela mereka.

Mencela dari hadir sembahyang berjemaah adalah amat diberatkan oleh agama, tidak boleh diambil senang saja. Orang-orang dahulukala sangat-sangat mengambil berat sekali tentang sembahyang yang berjamaah.



Sumber: http://bimbinganmukmin.wordpress.com/

Saturday, August 25, 2012

Hukum Memakai “Braces”



Soalan :
Apa hukum pakai pendakap gigi? Adakah ia sama seperti mengubah kejadian ALLAH seperti tatoo?


Jawapan:
Nabi bersabda :
“Allah melaknat wanita yang membuat tattoo dan wanita yang telah memakainya, wanita yang mencabut bulu diwajahnya dan wanita yang telah melakukannya, dan wanita yang meluaskan jarak diantara gigi mereka atau orang lain bagi tujuan kecantikan, menukar apa yang Allah telah ciptakan”  (Shahih Muslim #3966)
Imam Al-Nawawi rh didalam memberi komentar terhadap hadith diatas menjelaskan :-
“Meluaskan jarak gigi – maknanya sesuatu yang dilakukan keatas gigi bagi menjadi seseorang itu kelihatan cantik, dan ini menunjukkan bahawa ia adalah HARAM, iaitu apabila dilakukan bagi tujuan kecantikan, akan tetapi bagi merawat masalah yang berlaku kepada gigi, maka tidak ada salah melakukan, Dan ALLAH yang lebih tahu sebaiknya.”
Braces atau pendakap gigi ini adalah bertujuan membetulan kedudukan gigi atau merawat gigi, dan ia bukan dari larangan yang dinyatakan didalam hadith diatas yang dikategorikan sebagai mengubah ciptaan Allah.
Menurut Dr Rafa’at Fawzi Abdul Muttalib, Prof Universiti Dar al-Ulum, Braces yang membetulkan kerosakan gigi adalah dibenarkan.
Syeikh Faizal al-Moulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa Eropah berkata :
“Braces atau pendakap gigi bagi tujuan KESIHATAN adalah dibenarkan menurut syara’, bahkan ia juga diperlukan”
Menurut sekumpulan Mufti Islam Online : “As long as the bracing is done to fix a problem, then it is allowed and there is nothing wrong with it.”, iaitu selama mana pendakap itu membaiki sesuatu, maka ia dibenarkan.

Bolehkah Menceritakan Aurat Kepada Bukan Mahram?

Asssalamualaikum..
Apakah hukum memberitahu sesuatu sesuatu ciri-ciri bhagian aurat kepada yg bukan mahram tanpa menunjukan bahagian tersebut?
Contohnya seorng prempuan memberitahu kepada kawan lelakinya tentang rambutnya seperti rambutnya pnjang, lurus dn sebagainya..tetapi lelaki tersebut tidak pernah melihat/terlihat rambut perempuan itu tersebut..


Jawapan:
Waalaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh. Tidak boleh memberitahu hal tersebut kepada bukan mahram.
a) Antara illah aurat wanita muslim di hadapan wanita non muslim sama seperti dgn lelaki bukan mahram adalah kerana wanita non muslim ini tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah).. Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan.
b) Dari Ibn Mas’ud radiallahu anhu. berkata, Rasulullah saw. bersabda: “Janganlah seorang perempuan bergaul dengan perempuan lain kemudian menceritakan perempuan lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat perempuan yang diceritakannya”.(HR. al-Bukhari dan Muslim)
c) Imam Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir menyatakan:
“Firman Allah Subhanahu wa Taala [au nisaa`ihinna], maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah juga dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah, namun tidak boleh kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah); agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari (mahdzuuran) pada semua wanita, akan tetapi kepada wanita ahlu zimmah lebih ditekankan lagi. Sesungguhnya tidak ada larangan mengenai masalah ini (menceritakan aurat wanita lain) bagi wanita ahlu zimmah. Adapun untuk wanita Muslimah, sesungguhnya, dia memahami bahawa hal ini (menceritakan aurat wanita lain kepada suaminya) adalah haram. Oleh kerana itu, hendaknya dia menjaga diri dari hal tersebut. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48]

Wednesday, August 22, 2012

Kerana Menutup Auratlah Yang Membezakan Kita Dengan Mereka


Bismillahhirrahmanirrahim
Bersyukur aku kepada Ilahi kerana masih lagi diberi peluang dan ruang untuk bernafas, meni’mati segala kurniaanNya yang tidak mampu untuk aku beli. Dari kita celik mata hinggalah kita menutup mata, terlalu banyak ni’mat kurniaan Dia kepada kita kan? Selepas bangun dari subuh, aku tidak terus tidur. Sudah menjadi kebiasaan aku tidak akan tidur selepas subuh melainkan mata dan badan ini terlalu letih kerana berjaga untuk membuat tugasan dan assignment di malam hari, barulah aku akan tidur sebentar. Rutin harianku sekiranya tidak kuliah, aku akan mula mengakses internet untuk membaca artikel-artikel yang boleh memberi manfaat. Ketika aku melayari sebuah blog, aku terbaca sebuah entry mengenai penghijarahan seorang wanita yang dari tidak menutup aurat dengan sempurna kepada bertudung labuh. Terkesima aku membacanya. Alhamdulillah.. Hidayah Allah itu datang kepada siapa yang cuba untuk mencarinya. Lalu aku juga teringin untuk berkongsi kisahku kepada kalian.
Sejak aku dibangku sekolah, aku sudah mengetahui tentang aurat wanita itu, bahkan apabila sedang belajar di kelas Pendidikan Islam sekiranya ditanya tentang aurat wanita aku adalah orang yang seringkali memberi jawapan. Tetapi tetap aku tidak menutup aurat dengan sempurna. Aneh sungguh! Aku masih lagi mengenakan pakaian yang tidak mengikut kehendakNya, masih lagi tidak berstokin dan sebagainya. Pernah juga terdetik di hati ini untuk berubah pada ketika itu apabila melihat kawan yang tertutup rapi menjaga auratnya. Tetapi setiap kali aku cuba berubah, pasti pelbagai persoalan aku fikirkan. Nanti orang kata aku hipokrit lah, nanti kalau bertudung labuh tapi perangai tetap sama macam mana, nanti kalau bertudung labuh dah tak boleh nak “gila-gila” macam dulu, terlalu banyak yang aku fikir. Maka, akhirnya aku tetap begitu.

Kehidupanku diteruskan lagi apabila aku berjaya menempatkan diri di sebuah IPTA di selatan negara. Di sinilah kisah penghijrahanku bermula. Seperti pelajar-pelajar wanita yang lain, apabila ke kuliah aku akan mengenakan pakaian yang “biasa” aku pakai. Jeans, blouse dan tudung. Suatu hari ketika menunggu bas, mataku teralih untuk melihat dua orang mahasiswa di hadapanku. Seorangnya bukan islam dan seorangnya Islam. Lalu, aku mula memerhati. Aku terus menunduk dan melihat apa yang aku pakai dan aku terus mengalihkan pandangan kepada wanita Islam itu. Bertudung labuh, berbaju longgar dan juga labuh, seluarnya juga begitu dan berstokin. Maka timbul satu soalan dalam fikiranku. Sekiranya aku berpakaian seperti mereka yang bukan Islam itu, apakah beza antara aku dengan mereka? Di sepanjang perjalanan, aku hanya diam. Tidak kecoh seperti biasa. Aku mula berfikir. Tiba-tiba teringat kata-kata pensyarahku tempoh hari. Aku berjumpa dengannya untuk bertanya soalan, tapi dia pula yang menanyaku kembali. Sejurus aku memasuki biliknya, soalan pertama dia kepadaku, “You tahu tak kenapa baju yang you pakai ni tak boleh buat solat?”. Aku menjawab dengan nada yang endah tak endah. “Sebab ketat kot”. Betul, jawapan tu katanya. Tapi jawapan yang lebih tepat “sebab pakaian you tu tak boleh buat solat”, katanya lagi.
Aku mula teringat kembali kata-kata ayahku suatu ketika dahulu. “Anak babah cantik tau kalau pakai jubah, pakai longgar-longgar, taknak try ke?” “Kakak tak kesian ke kat babah kalau babah masuk neraka? Kakak pakai macam ni?” Aku mula tersentak! Jiwaku seperti disentap –sentap. Kepalaku masih ligat lagi memikirkan tentang hal ini. Aku seperti orang yang sedang tidur lalu dibangunkan dari lena yang panjang! Aku tidak terus makan pada hari itu, aku terus pulang ke bilik. Aku mula termangu, termenung memikirkan apa yang telah aku lakukan, apa yang telah aku kenakan di sepanjang hidup aku hingga saat ini. Bukan aku tidak tahu tentang aurat wanita itu, tetapi mengapa aku tidak mahu memahaminya? Bukan ayah tidak pernah menasihati aku, tetapi mengapa aku tetap berdegil? Bukan ayah tidak mendidik, mengapa aku tidak menerima untuk dididik? Bukan tiada sahabat yang menegur, mengapa aku tidak mengambil teguran mereka? Aku bukan tiada ilmu tentang ini, tetapi mengapa aku tidak pernah ambil tahu. Aku solat, tapi mengapa aku tidak mengikut pakaian yang disyariatNya? Islam kah aku sekiranya pakaian yang aku kenakan menerupai mereka yang bukan Islam? Air mataku mula mengalir tanpa sedar, memikirkan apa yang aku lakukan disepanjang aku hidup. Apa yang aku kenakan sebelum ini ketika aku melangkah keluar.
Hari demi hari, aku mula untuk memahami dengan lebih mendalam apakah itu aurat wanita dan cuba mempraktikkan. Perlahan-lahan aku mengenakan baju yang longgar dan labuh, bertudung menutupi dada, dan berstokin. Pencarian itu aku teruskan lagi. Aku memerhati mereka yang menjaga auratnya, aku mula membaca artikel-artikel tentang aurat wanita. Al-Quran yang jarang dibuka, aku mula buka. Jika sebelum ini aku membaca tanpa memahami maksud, aku mula mencari terjemahan quran itu. Sehingga lah aku menemukan ayat ini.
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan JANGANLAH MENAMPAKKAN PERHIASANNYA (AURATNYA), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka MENUTUPKAN KAIN KERUDUNG KE DADANYA..” - (Surah An Nur, 24: 31)
“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, HENDAKLAH MEREKA MENUTUPKAN JILBABNYA KE SELURUH TUBUH MEREKA”. Yang demikian itu agar mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”. - (Surah Al Ahzab, 33: 59)
Nah! Peringatan Allah tentang kewajiban menutup dan memelihara aurat ini telah terwujud sebelum kita dilahirkan lagi. Aku mula memahami betapa berharganya diri kita ini wahai wanita. Aku dapat merasakan sesuatu yang sangat berbeza apabila aku berpakaian begini. Sekiranya sebelum ini aku sering diganggu oleh lelaki, selepas aku berpakaian begini, aku tidak kerap diganggu terutamanya apabila berjalan seorang diri. Aku sudah merasakan selamat apabila berpakaian begini. Alhamdulillah, inilah ni’mat yang paling berharga dalam hidup selain ni’mat Islam dan Iman iaitu ni’mat hidayah. Hidayah takkan datang tanpa kita cari, Allah juga akan memberi hidayah kepada orang yang mencarinya. Bukankah Allah telah berkata Dia akan membantu kita sekiranya kita ingin mencari ilmuNya? Mana mungkin Dia memungkiri janji! Aku mula sedar, kehidupan dunia ini hanya satu persinggahan, hanya sementara. Jangan tertipu dengan fashion akhir zaman. Diri kita ini sangat berharga, lebih berharga dari segala-galanya. Apakah kita suka maruah kita dipermainkan, dipertontonkan pada yang tidak sepatutnya? Setiap yang BERHARGA di muka bumi ini selalu sulit untuk didapatkan, tidak ditemukan berselerakan. Cuba kita perhati, emas dan perak ditemukan di dalam perut bumi, dilindungi berlapis-lapiss dalam tanah. Berlian ditemukan terlindung dan tertutup oleh batuan yang keras. Mutiara ditemukan di dasar laut terlindung oleh cengkerang yang keras. Muslimah, kita ini lebih berharga dari emas, perak, berlian dan mutiara. Kita seharusnya TERLINDUNG. Pakailah jilbab/kerudung/hijab dengan BENAR, bukan untuk membungkus rapat tubuh melainkan untuk menutupi keindahannya hanya untuk yang pantas melihat kita.
Akhir kata dari saya, jangan sesekali malu untuk berubah ke arah kebaikan. Pedulikan saja kata-kata sinis orang. Nanti di akhirat sana, kita yang akan menjawab di depan Tuhan bukan? Ayuh bersama menutup aurat dengan sempurna. Kita mampu mengubahnya!  
By: Irna Syafiqah Zaabar

Amalan Harian Rasulullah S.A.W & Kelebihan Berselawat

Nabi Muhammad saw adalah insan terpuji yang menjadi contoh kepada setiap manusia tidak kira mereka yang beragama islam ataupun tidak. Bahkan mereka yang bukan beragama islam telah membuat kajian untuk mencari kelemahan dan kekurangan baginda, namun tidak ditemui sebarang kekurangan. Sungguh kita semua bertuah dijadikan sebagai umat akhir zaman,walaupun kita semua berasal dari rumpun bangsa yang berbeza (hatta juga agama) kita mengenali Nabi Muhammad saw lantaran adanya internet sebgai perantaraan.
Alangkah baiknya kita menjadikan setiap satu amalan harian Nabi saw sebagai contoh ikutan untuk kita setiap hari. Jangan dilupakan juga buat muslimin maslimat agar sentiasa berselawat kepada Nabi Muhammad saw kerana ia merupakan hadiah yang khusus untuk setiap orang islam untuk Nabi Muhammad saw. Salam dan selawat untuk junjungan besar Nabi Muhammad saw. Berikut adalah antara amalan harian yang kita wajar jadikan contoh dan teladan dalam melalui kehidupan harian. InsyaAllah.
  • Sesiapa yang berwuduk saat ingin tidur dan meminta supaya ALLAH berikan kebaikan dunia dan akhirat pasti akan di kabulkan – Tirmizi.
  • Sunat tidur dalam keadaan berwuduk.
  • Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua perkara dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.
  • Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, insyaALLAH, akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, riak dsbnya dalam dirinya.
  • Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.
  • ALLAH akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan selawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.
  • Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi membiasakan diri dengan mengambil makanan yang terdekat, kemudian baru di ambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik kesopanan.
  • Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insyaALLAH akan di kurniakan kebijaksanaan
    pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

  • Sesiapa yang berniat mandi(untuk solat jumaat) kemudian pakai pakaian terbaik & wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga jumaat berikutnya-Ahmad.
  • Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali tiap hari, dengan izin ALLAH dirinya akan lebih dihargai oleh orang lain.
  • Uthman bin Affan riwayatkan bahawa Nabi SAW apabila berwuduk, beliau membasahi
    janggutnya-Tirmizi

  • Nabi tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, beliau makan dan sebaliknya beliau tinggalkan-Bukhari. Apatah lagi jika makanan itu pemberian orang lain.
  • Sahabat meriwayatkan:
    Aku lihat Nabi SAW makan dengan 3 jari(ibu jari telunjuk & tengah)- Muslim. Jarang sekali beliau makan dengan 4 @ 5 jari kecuali ada keperluan.

  • Menurut Sayyid Ahmad dahlan, sesiapa berselawat walau sekali pada malam jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan ALLAH seperti yang dihadapi oleh para nabi.
  • Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum. InsyaALLAH, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.
  • Perbaharui wuduk tiap kali bersolat krn padanya terdapat banyak fadhilat.
  • Hadith: Sesiapa yang berwuduk dalam keadaan suci, ALLAH catatkan 10 kebaikan baginya-Abu Dawud.
  • Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat tiga kali setiap selepas solat lima waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.
  • Nabi SAW sering menghadap ke kanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum
  • Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan beselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.
  • Nabi tak makan sambil bersandar-Bukhari.
  • Ertinya, baginda makan dengan duduk condong sedikit ke hadapan bagi elakkan dirinya terlalu kenyang & mudahkan penghadaman .
  • Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat tiga kali tiap selesai solat subuh, Maghrib dan isyak, ALLAH akan menghindarkannya drp sebarang bencana
  • Nabi sering beristinsyaq air kedalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersihkan,ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung
  • Setelah bersolat Nabi memohon ampun ( astagfirullahalaziim) tiga kali-Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari
  • Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali tiap hari, ALLAH akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.
  • Apabila Nabi tidur, ia dahulukan mengiring sebelah kanan – Bukhari. Dari segi kesihatan, cara berkenaan baik untuk jantung (yang berada di kiri badan) mengepam darah
  • Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan ALLAH segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNYA
  • ,Tika Nabi tidur, ia membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas lalu meniup telapak tangan serta menyapu keseluruh tubuh)mohon perlindunganNYA) – Bukhari
  • Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan ALLAH
  • Wuduk dahulu jika ingin tidur sekalipun dalam keadaan junub. Nabi menyarankan, cukup dengan bersihkan kemaluan dan berwuduk tanpa perlu mandi wajib jika ingin tidur.
  • Munurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipudaya syaitan yang melalaikan .
  • Silangkan kaki jika tidur di masjid.
  • Hadith:Sahabat melihatNabi berbaring di masjid dgn satu kakinya atas kaki yang lain (kerana bimbang terdedah aurat) – Bukhari
  • Sesiapa yang membaca selawat sebanyak tujuh kali selama tujuh Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.
  • Adakalanya Nabi SAW amat menyukai doa-doa yang ringkas(mudah) – Abu dawud. Baginda mementingkan kualiti doa itu sendiri dengan sedikit tetapi maknanya yang menyeluruh.
  • Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari
  • Setelah bersolat Nabi SAW mohon ampun(astagfirullahalaziim) tiga kali – Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari
  • Nabi seorang yang berpsikologi dalam memberi nasihat. Nabi memilih waktu yang sesuai untuk menasihati sahabat supaya
    mereka tidak bosan (atau tersinggung) – bukhari

  • Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat asar pada hari jumaat, insyaALLAH akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.
  • Menutup mulut dan rendahkan suara tika bersin. Hadith: Apabila Nabi bersin, beliau letakkan tangan atau pakaiannya dimulut (kerana dibimbangi terpercik) – Abu Dawud
  • Jiwa yang gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana ALLAH itu Maha Luas RahmatNya. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadakusebanyak 100 kali pada hari jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Abu Naim
  • Nabi tidak pernah menolak hadiah. Hadith: nabi selalu terima hadiah & amat menghargainya – Bukhari
  • Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, ALLAH akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya
  • Selalu memilih yang lebih mudah. Hadith: Mudahkan sesuatu & jangan kamu sukarkannya – Muttafaq Alaih
  • Berdiri apabila melihat iringan jenazah.
  • Hadith: Apabila kamu sekalian melihat jenazah( yang diusung), maka berdirilah (sbg tanda penghormatan) – Muttafaq Alaih
  • Ulamak berpendapat, sesiapa yang amalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, InsyaALLAH dihindarkan daripada taun & wabak penyakit berbahaya yang lain
  • Bersujud syukur jika dapat khabar gembira. Nabi sering melakukannya ketika beroleh khabar yang menyenangkan sebagai tanda syukur hamba terhadap ALLAH – Abu Dawud
  • Membaca selawat 1000 kali selepas Solat Hajat dua rakaat mampu meenghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan ALLAH akan hajatnya
  • Beri salam hingga tiga kali sahaja.Bahawasanya baginda memberi salam sebanyak 3 kali, apabila salamnya tak berjawab, beliau beredar.
  • Menurut para ulamak, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib
  • Melakukan /membantu isteri pekerjaan di rumah. Hadith: Bantuan terhadap isterimu itu adalah sedekah-Ad-Dailami
  • Para ulamak berpendapat, ALLAH sempurnakan hajat yang baik dengan senantiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, di ikuti dengan usaha yang berterusan.

GOLONGAN VIP DI AKHIRAT

Rasulullah s.a.w menjelaskan suatu keadaan yang amat menggerunkan pada hari Kiamat dalam sepotong hadis baginda yang bermaksud ;

“ Didekatkan matahari pada hari Kiamat kepada makhluk sehingga jaraknya satu batu (samada ukuran sekarang atau akhirat), maka ketika itu manusia berada di dalam peluh masing-masing menurut kadar amalan jahat yang dilakukan. Ada di kalangan mereka yang mengharungi peluhnya sekadar buku lali, ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke pinggang dan ada yang sampai ke mulutnya (sambil baginda menunjukkan isyarat ke mulutnya).” ( Muslim & Tarmizi )

Pada saat ini, manusia mencari-cari tempat berteduh untuk berlindung daripada kepanasan tersebut. Segala harta kekayaan ketika di dunia dahulu sudah tidak dapat berfungsi kecuali yang telah dibelanjakan dengan cara yang diredhai oleh Allah. Walaubagaimanapun ada golongan ‘VIP’ tertentu yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w untuk mendapat ‘grand stand’ berbumbung pada saat genting itu. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa baginda bersabda yang bermaksud ;


“ Tujuh golongan yang Allah akan naungi mereka pada hari yang tiada teduhan melainkan teduhan yang diberikan oleh Allah”.

Mereka ialah :


1) PEMIMPIN YANG ADIL

Golongan ini diletakkan pada senarai yang pertama kerana ia bakal melahirkan ramai lagi calon untuk mengisi enam golongan seterusnya. Di dalam kitab Dalil al-Faalihin, diterangkan bahawa makna adil ialah mematuhi segala perintah Allah dengan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Pemimpin yang adil akan meletakkan Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai rujukan utama di dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil. Golongan ini diketuai oleh Rasulullah s.a.w yang menjadi Perdana Menteri Negara Madinah selama 10 tahun, diikuti oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan setiap pemimpin yang berusaha mencontohi mereka di dalam kepimpinannya.


2) REMAJA YANG MEMBESAR DALAM KETAATAN

Usia remaja amatlah mencabar. Pelbagai pengaruh menghantui para remaja samada melalui rakan-rakan sebaya, media cetak, elektronik dan lain-lain. Jiwa remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru terutamanya yang kelihatan menyeronokkan seperti mempunyai pasangan kekasih, merokok, merempit, berkaraoke dan pelbagai aktiviti yang ada kalanya menyebabkan kesan yang sangat negatif kepada masa depan mereka sendiri. Walaubagaimanapun di celah-celah keributan gejala sosial ini, masih ada remaja yang menjaga agama mereka. Mereka berkawan, berseronok, dan beraktiviti seperti biasa, namun batasan agama sentiasa dipatuhi. Halal dan haram menjadi pertimbangan terpenting dalam kehidupan sehingga ada kalanya dipandang asing oleh rakan sebaya. Mereka ini yakin dengan janji Rasulullah s.a.w bahawa naugan Allah sedang menanti di akhirat kelak sebagai ganjaran terhadap kekuatan ‘antibodi’ yang menepis segala pujuk rayu maksiat pada usia remajanya.


3) PENCINTA MASJID

Sepanjang sejarah Islam, ada golongan manusia yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Mereka sanggup berkorban apa sahaja yang dimiliki demi menghidupkan fungsi masjid di atas muka bumi ini. Setiap kebaikan yang berlaku di masjid pasti menggembirakannya dan sebarang usaha atau tindakan untuk mengganggu institusi masjid bakal menyentap emosi mereka secara spontan. Golongan ini mempunyai 5 sifat sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Taubah, ayat 16 iaitu keimanan yang kukuh kepada Allah dan hari Akhirat, serta sentiasa mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak pernah gerun di dalam menjalankan tanggungjawab agama, melainkan hanya kepada Allah.


4) DUA INSAN YANG BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH

Berkasih sayang adalah soal hati. Ia merupakan suatu perasaan yang tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat oleh seseorang. Setiap insan pasti ada orang yang dikasihinya samada ahli keluarga, sahabat handai ataupun tokoh yang dikagumi. Persoalannya, atas dasar apakah kasih sayang itu dibina ? Sekiranya kerana wajah yang jelita, harta yang melimpah atau kepentingan-kepentingan duniawi yang lain, maka masih belum layak untuk mendapat naungan Allah di akhirat nanti. Perasaan mengasihi kerana Allah lahir apabila melihat seseorang yang sangat bersungguh di dalam mentaati Allah dalam segenap urusan hidupnya. Persahabatan terjalin sehingga menjadikan setiap pertemuan dan perpisahan sesudah itu adalah untuk urusan agama.


5) DIGODA BERZINA

Golongan kelima yang dijanjikan naungan Allah ialah seorang pemuda yang digoda berzina oleh perempuan yang cantik lagi berpangkat, lalu ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah !’. Nafsu dan keinginan orang muda pastinya sentiasa hangat, tambahan pula digoda oleh perempuan cantik lagi mengiurkan, di samping pangkat yang dimilikinya boleh dimanfaatkan untuk mengelak sebarang hukuman atau tindakan daripada pihak tertentu. Dalam keadaan ‘line clear’ ini, anak muda tersebut masih ada Allah di hatinya lalu dengan tegas membuktikan kegerunannya terhadap murka Allah mengatasi gejolak nafsunya. Ia pasti bersama panji Nabi Yusof a.s di akhirat kelak bersama para bidadari yang disediakan oleh Allah.


6) MENYEMBUNYIKAN SEDEKAH

Ada insan yang sentiasa berurusniaga dengan Allah. Pelaburannya sentiasa dijuruskan untuk mendapat ‘profit’ akhirat yang kekal abadi lalu sentiasa bermujahadah untuk mencapai martabat kemuncak keikhlasan sehingga Rasulullah s.a.w mentamsilkan bersedekah tangan kanan, tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan. Tidak pernah terdetik di hati untuk mendapat pujian daripada manusia sekeliling sehingga menyebabkan nilai pahalanya begitu tinggi walaupun jumlah sedekahnya kecil pada penilaian manusia. Apatah lagi ketika mereka bersedekah dengan jumlah yang besar di samping hatinya yang sangat suci, pastinya melayakkan mereka di akhirat nanti untuk bersama para hartawan dari kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w.


7) MENGINGATI ALLAH SEHINGGA MENITISKAN AIR MATA

Golongan terakhir ialah insan-insan yang begitu tekun bermuhasabah tentang diri mereka sehingga menitiskan air mata di kala berseorangan. Mereka memikirkan dosa-dosa lampau dan juga betapa banyaknya perintah Allah yang belum tertunai. Si ayah dan ibu memikirkan anak-anaknya yang tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat, si peniaga yang teringatkan tipu helahnya dalam melariskan jualan, si anak mengimbau dosa-dosa terhadap kedua ibu bapanya dan pelbagai situasi lagi yang akhirnya menyebabkan mutiara-mutiara jernih mengalir di pipi, semata-mata kerana Allah.